Tuesday, September 2, 2014

Hidup ini lebih bermakna jika kita memberi


Ramai orang bila ditanya semuanya nak berjaya.
Semuanya nak kaya. Tapi malangnya mereka kurang jelas apa itu yang dimaksudkan dengan sebuah kejayaan.

Kejayaan bukanlah satu destinasi tetapi satu perjalanan. Ianya tidak terhenti apabila mencapai apa yang kita impikan selama ini. Kenapa?

Mungkin pada awalnya kita ada beberapa matlamat tertentu dan biasanya ia akan melibatkan kehendak-kehendak peribadi kita. Tetapi, apabila matlamat atau kehendak ini sudah dicapai, seeloknya kita menyimpan hasrat untuk lebih memberi.

Hidup ini lebih bermakna jika kita memberi.

Saya sering ditanya bagaimana untuk berjaya.
Jawapan saya mudah, bersihkan hati.

Ramai yang gagal kerana asyik memikirkan tentang orang lain. Ini bermakna hati kita masih lagi kotor. Kita masih ada hasad dengki, tidak puas hati dengan kejayaan orang lain, suka mencari salah orang, suka mengumpat dan sebagainya.

Inilah penyebab kenapa proses kejayaan kita menjadi lembap walaupun pelbagai usaha yang cekal telah kita ambil.

Kepada yang sudah "berjaya" juga harus diingat bahawa itu bukanlah kejayaan mutlak kita. Masih terlalu jauh perjalanan hidup ini. Proses mencipta kejayaan tidak terhenti selagi kita bernyawa.

Lihat sahaja Tun Dr. Mahathir. Walaupun sudah bersara, beliau masih aktif dengan pelbagai aktiviti.

Ramai lagi yang dapat kita jadikan contoh.
Kalau kita kata kita sudah berjaya, ramai lagi yang jauh lebih berjaya dari kita. Maka, perlu berusaha lebih kuat lagi.

Jika kita katakan kita kaya, ramai lagi orang yang lebih kaya daripada kita. Jika kita kata kita sudah banyak beri zakat, ramai lagi orang yang berzakat lebih daripada kita. Jika kita katakan kita sudah mewah, ramai lagi orang yang lebih mewah daripada kita. Jika kita katakan kita banyak bersedekah, ramai lagi yang lebih banyak sedekahnya daripada kita. Kita kena berusaha kuat lagi.

Jika kita merasakan begini, kita dapat elakkan diri kita daripada mudah merasa puas atau riak. Ingat orang lain sentiasa lebih daripada kita. So, kita kena sentiasa berusaha.

Fokus kepada diri sendiri jangan sibuk hal orang. Bukan bererti kita kena jadi kera sumbang, tetapi perlu ada batasannya.

Sentiasa menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Ianya bukan hanya membolehkan kita dapat pahala, malah meningkatkan lagi kejayaan kita. Ingat bahawa janji Allah itu benar.